PUTRAJAYA: Dua anak kepada pengawal peribadi yang cedera parah akibat terkena tembakan ketika melindungi majikannya, dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Ahad lepas, sudah tidak sabar untuk bertemu bapa mereka selepas dimaklumkan mengenai perkembangan positif oleh ibu mereka.
Berkongsi reaksi itu, isteri Muhammmad Nur Hadith Zaini, 38, iaitu Siti Noraida Hassan, 38, berkata ketika ini dua daripada tiga anak mereka hanya dapat berhubung dengan bapa mereka melalui panggilan video.
“Anak-anak gembira dan sedih. Mereka nak jumpa papa mereka, tetapi saya belum bawa lagi. Hanya berhubung melalui panggilan video sahaja buat masa ini.
“Mungkin lepas papa mereka ditukar ke wad biasa, baru saya bawa (anak-anak) (untuk berjumpa),” katanya yang dikurniakan tiga anak berusia antara tiga, 10 dan 13 tahun, hasil perkahwinan dengan Muhammmad Nur Hadith.
Siti Noraida berkata beliau dan beberapa waris terdekat, dibenarkan melawat sejak suaminya yang lebih dikenali sebagai Along dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan.
“Saya dan waris terdekat memang boleh melawat sejak hari pertama lagi, cuma anak-anak sahaja tidak dibenarkan,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan, pihak hospital telah menghentikan pemakaian alat bantuan pernafasan apabila Muhammmad Nur Hadith sudah mula sedar dan semakin pulih.
Isterinya turut dilaporkan berkata suaminya sudah boleh bercakap sedikit dan bertanyakan mengenai keluarga serta anak-anak, walaupun masih dalam keadaan lemah.
Insiden pada kira-kira 1.30 pagi 14 April itu, menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya telah terkena mangsa yang juga pengawal peribadi isteri suspek.
Suspek, 38, yang melarikan diri selepas kejadian, kemudian ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan pada 15 April.
Mahkamah Majistret Kota Bharu sebelum ini membenarkan permohonan polis untuk reman lelaki itu selama tujuh hari dari 16 hingga 22 April dan disambung lima hari lagi sehingga 27 April, bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Saya masih sayang farah – suspek tembak KLIA
- Kes tembak di KLIA, pembedahan usus ke atas pengawal peribadi selesai, perlu pemantauan rapi
- Suspek lepaskan tembakan di KLIA dipercayai mahu lari ke Makkah – Polis
- Suspek kes tembak di KLIA mahu 7 peguam bela
- Polis sahkan isu peribadi dengan isteri kekal motif utama suspek kes tembakan KLIA
- ‘Saya akan beri kerjasama kepada pihak polis’
- Suspek kes tembakan di KLIA ditahan reman 7 hari
- Kes tembak di KLIA: Suspek disyaki guna pistol 9mm, dari negara jiran – KPN
- Tembakan di KLIA: Kereta digunakan suspek bukan didaftar atas namanya
- Isteri mangsa tembak di KLIA syukur suspek ditangkap
- Tembakan di KLIA: Suspek ditahan di Kota Bharu
- [VIDEO] Tembakan di KLIA 1 cubaan bunuh, seorang cedera
- Pengawal peribadi masih belum sedarkan diri
- Along dah mula sedar – Isteri
- Suspek kes tembak KLIA disambung reman lima hari