Tumpuan :
Dunia Seni

Anak Ahmad Nawab terkejut, ayah tiada sakit kronik sebelum meninggal dunia

Nassier menganggap arwah ayahnya, sebaik-baik manusia.-FOTO: NSTP

GOMBAK: Anak Allahyarham Ahmad Nawab, iaitu Nassier Khan mengakui terkejut dengan pemergian bapanya kerana maestro muzik legenda itu tidak pernah mengalami sakit kronik.

Nassier, 62, yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, sebelum menutup mata, bapa dilihat dalam keadaan duduk dan tampak tenang.

“Hendak kata ayah sakit sangat pun tidak. Ketika itu, arwah dalam keadaan duduk. Ketika itu, hanya ada arwah, saya dan adik. Arwah ayah berada dalam posisi duduk dan ‘pergi’ dengan tenang.

“Ayah tidak hidapi sakit kronik seperti jantung atau lain-lain. Kalau demam, rutinnya hanya makan ubat. Semalam (kelmarin), ayah macam sesak nafas dan kami rawat di rumah guna alat bantuan oksigen.

“Namun, ayah guna alat itu sekali sekala sahaja,” katanya ditemui selepas selesai pengebumian Allahyarham Ahmad Nawab di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di sini, hari ini.

Mengulas keperibadian Allahyarham Ahmad Nawab, Nassier memberitahu, bapanya dianggap sebaik-baik manusia.

“Saya tak tahu hendak cakap bagaimana mengenai pemergian ayah. Sebagai anak, beliau ayah yang terlampau baik. Ayah sangat baik walaupun tidak banyak bercakap,” katanya.

Jenazah Allahyarham Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di sini, pada jam 11.15 pagi tadi.

Semalam, Allahyarham Ahmad Nawab, 92, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini