Tumpuan :
Nasional

Anak ‘Abuya’ tunjuk lokasi dikurung, dipercayai kosong sejak September lalu

Oleh: Kumaran Rajamoney

BERUAS: Anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah tiba di perkampungan Global Ikhwan Services and Businesses Holdings (GISBH) di Batu Hampar, Perak sekitar jam 2.38 petang tadi.

Beliau yang memakai kebarung kelabu dibawa ke perkampungan itu, dengan diiringi 10 orang pegawai dan anggota polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, ASP M.Suder.

Wanita berusia 41 tahun itu kemudian dilihat membawa polis meninjau beberapa lokasi sekitar perkampungan itu bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan dia dikurung kira-kira sebulan di perkampungan itu.

Tinjauan dilakukan kira-kira 30 minit, sebelum Ummu Atiyah dilihat menaiki kenderaan jenis Proton X70 bagi meninggalkan lokasi itu, dipercayai pulang ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Ummu Atiyah difahamkan sudah dirakam keterangannya di Balai Polis Padang Gajah, di sini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad itu akan dibawa ke sini untuk menunjukkan tempat dia dikurung.

Ini selepas Ummu Atiyah mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol oleh seorang pemimpin GISBH.

Pada sidang media di ibu negara, wanita itu mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.

Malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Razarudin berkata, pengadu mengaku bebas bergerak dalam kampung dan juga pernah dibawa keluar dari kampung untuk beli barang keperluannya, bagaimanapun wanita itu tidak diberikan kemudahan menggunakan telefon.

Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.

“Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

“Dia juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu, namun ditangkap oleh penghuni lain.

“Pengadu menyatakan dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkannya dengan anaknya,” katanya.

Razarudin turut mengesahkan mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini