Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KLANG: Teki-teki mengenai siapa Menteri Besar Selangor berakhir apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari, mengangkat sumpah memperbaharui jawatan itu hari ini.
Amirudin, 43, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah jam 11.34 pagi tadi.
Beliau dilantik semula selepas gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Daripada 34 kerusi dimenangi itu, PH menguasai 32 kerusi, manakala BN 2 kerusi.
Terdahulu, beliau tiba di perkarangan Balairung Seri sekitar jam 10 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Majlis istiadat yang berlangsung turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pembesar-pembesar Negeri Selangor.
Istiadat Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Selangor akan diadakan di tempat sama, Balairung Seri pada jam 2 petang ini.