TENOM: Seorang wanita sakit hendak bersalin berdepan detik cemas apabila ambulans yang membawanya ke hospital terbabit kemalangan dengan kereta peronda polis (MPV) di Kilometer 13 Jalan Tenom – Keningau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita berusia 28 tahun terbabit bagaimanapun selamat dipindahkan ke kenderaan ambulans lain dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, wanita terbabit selamat bersalin pada pagi itu juga dan melahirkan anak perempuan di Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Ediansha Endal berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati perlanggaran berlaku apabila pemandu van ambulans dalam perjalanan dari Hospital Tenom menghantar pesakit ke Hospital Keningau.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta MPV polis membelok ke kanan dan pada masa yang sama pemandu van ambulans tidak sempat membrek.
“Oleh kerana jarak yang dekat lalu cuba mengelak ke kanan jalan dan berlanggar bahagian tepi kereta MPV polis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ediansha berkata, kedua-dua kenderaan yang terbabit telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.
“Pemandu MPV polis lelaki berusia 37 tahun dan pemandu ambulans berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala penumpang hadapan MPV polis berusia 21 tahun cedera ringan. Penumpang yang berada dalam ambulans terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pesakit yang ingin bersalin selamat dipindahkan ke kenderaan ambulans lain dan dihantar ke Hospital Keningau,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan yang terbabit itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan lanjut.
“Ketika kejadian keadaan cuaca berkabus dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis khususnya IPD Tenom ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan menjadi pengguna jala raya yang peka dengan cuaca berkabus pada waktu pagi bagi mengelak dari sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.