CHUKAI : Sebuah ambulans terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Chukai-Air Putih, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.45 pagi, ambulans terbabit dalam perjalanan membawa seorang pesakit yang disahkan sudah meninggal dunia ke Hospital Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 59 tahun berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, pacuan empat roda dalam perjalanan menghala ke Batu 2 1/2 membelok ke laluan kanan.
“Dalam masa yang sama, sebuah ambulans yang dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama penumpang iaitu Penolong Pegawai Perubatan berusia 27, dari arah simpang sebelah kanan tiba-tiba masuk ke laluan pacuan empat roda terbabit lalu melanggar di bahagian tepi belakang sebelah kiri.
“Berikutan pelanggaran itu menyebabkan ambulans terbabit terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya.
Tambahnya pesakit terbabit yang merupakan seorang guru berusia 55 tahun, dan berasal dari Kampung Seberang Tayur, Kemaman telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan sebelum kemalangan berlaku.
“Pemandu ambulans hanya cedera ringan sementara Penolong Pegawai Perubatan serta pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat guru terbabit dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.