comscore
Tumpuan :
Nasional

Ambil tindakan pihak jadikan pinggir Sungai Danga pusat pembuangan sampah – Suhaizan

Suhaizan meninjau kawasan pelupusan sampah haram berhampiran Sungai Danga di Kampung Tuah Jaya, Perling. FOTO: Ihsan Suhaizan

JOHOR BAHRU: Selepas penduduk bandar raya ini dihantui masalah pencemaran bau pada awal bulan lalu, penduduk di sini sekali lagi dikejutkan dengan kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran Sungai Danga yang menyebabkan pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan awam.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan pinggir sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah haram yang dikatakan aktif sejak lebih setahun lalu dan kini menjadi semakin serius.

Beliau berkata, tinjauan dilakukan pihaknya mendapati beberapa lokasi di kawasan pinggir Sungai Danga dipenuhi longgokan sampah yang menghasilkan bau busuk.

“Selain berdekatan sungai, lokasi pusat pembuangan sampah itu juga berhampiran Kampung Tuah Jaya di Taman Perling dan boleh mengganggu ekosistem sungai berdekatan.

“Tinjauan kami juga mendapati terdapat tong roro yang ditinggalkan lori membawa sampah secara aktif termasuk sampah binaan serta domestik hingga menimbulkan bau busuk sejak kebelakangan ini yang dan mengganggu penduduk sekitar.

“Selain itu, timbunan sampah boleh mengakibatkan pembiakan nyamuk yang menyebabkan penularan penyakit seperti denggi dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suhaizan berkata, pihaknya mendapati roro yang mengangkut sampah mempunyai nama syarikat berdaftar dan nombor telefon.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada SW Corp dan menggesa mereka mengambil tindakan tegas serta langkah efektif menghapuskan tapak pelupusan sampah haram di parlimen Pulai ini dengan segera.

“Kami juga menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup segera tapak pelupusan itu kerana ia menggunakan tanah rezab JPS,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini