Oleh: Fazli Ahmad
KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamad Noor, mahu semua penyokong parti itu tidak lemah semangat kerana kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, semalam.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menegaskan, kekalahan itu diterima dengan hati terbuka tetapi banyak pengajaran perlu direnung untuk bangkit kembali.
Menurutnya, beliau kagum dan berbangga dengan semangat jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) membantu beliau sepanjang 14 hari berkempen di Kemaman.
Katanya, berdasarkan semangat dan kesungguhan diperlihatkan semua jentera parti ketika berkempen itu, tiada sebab untuk parti itu tidak boleh bangkit kembali pada masa depan.
“Kalah dalam hal ini kita harus melihat di mana kekurangan kita di mana harus kita perbetulkan untuk seterusnya kita maju ke hadapan,”
“Untuk berperang atau bertempur sekali lagi jadi kekalahan kali ini bukan bererti kalah untuk selama-lamanya jangan kita tunduk dengan kekalahan ini,”
“Semangat tinggi dipamerkan jentera parti amat tinggi dan kekuatan itu perlu dikekalkan untuk melakar kejayaan masa depan.” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi selepas meraih 64,998 undi manakala Tan Sri Raja Mohamed Affandi memperoleh 27,778 undi pada PRK Kemaman semalam.
Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pengundi berdaftar tetapi hanya 92,776 pengundi atau 65.76 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka semalam.
Tan Sri Raja Mohamed Affandi turut merakam ucapan tahniah kepada Dr. Ahmad Samsuri dan PAS atas kemenangan diraih pada PRK Kemaman.
Beliau juga mengucapkan terima kasih dan mengzahirkan penghargaan kepada penduduk Kemaman yang memberi undi kepada BN semalam.