Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pentadbir sistem dan pengguna Internet diseru untuk memastikan langkah-langkah keselamatan siber diambil sebelum dan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
Menerusi infografik yang dikeluarkan hari ini, Cybersecurity Malaysia memaklumkan, langkah itu termasuk golongan berkenaan perlu membuat penambahbaikan dan kemas kini yang diperlukan pada sistem masing-masing.
Selain itu, syarikat pengendali data dan laman sesawang perlu memastikan perisian serta tambahan pihak ketiga sentiasa dikemas kini.
“Organisasi perlu menyediakan maklumat pentadbir sistem untuk dihubungi semasa insiden keselamatan berlaku, manakala pelanggan institusi kewangan perlu diberi nasihat untuk mengelakkan penipuan dalam talian.
“Penggunaan ‘multi-factor authentication’ (pengesahan berbilang faktor) perlu sentiasa diamalkan bagi sebarang transaksi dan aktiviti di talian,” menurut infografik itu.
Mengulas lanjut, Cybersecurity Malaysia berkata, pentadbir sistem perlu berjaga-jaga mengenai serangan pencerobohan, serangan penafian perkhidmatan (DDoS), pancingan data (phishing) dan aktiviti perisian hasad seperti perisian tebusan (ransomware).
Institusi kewangan juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap aktiviti pemalsuan identiti dan penipuan yang menyasarkan perbankan internet.
“Pentadbir sistem perlu rujuk laman sesawang pembekal masing-masing atau CyberSecurity Malaysia untuk maklumat terkini mengenai ‘patch’, ‘service packs’ dan peningkatan ‘upgrades’ di samping pastikan perisian anti-virus pada hos dan gerbang e-mel dikemas kini secara harian serta sentiasa diaktifkan untuk mengimbas semua fail,” menurut infografik itu.
Bagi pengguna di rumah, dinasihatkan untuk berhati-hati membuka pautan dan lampiran dari laman sosial, e-mel atau laman sembang termasuk melakukan penyimpanan sandaran secara berkala untuk mengehadkan kesan kehilangan data.
Laporan insiden keselamatan siber boleh dibuat ke Pusat Bantuan Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat 8.30 pagi hingga 5.30 petang) atau 019-2665850 (24 jam bagi laporan insiden kritikal sahaja).
Laporan juga boleh dikemukakan menerusi e-mel [email protected] atau di aplikasi Cyber999.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.