comscore
Tumpuan :
Nasional

Ambalat: Kenyataan ADUN Tungku fitnah, kelirukan rakyat – Wisma Putra

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia adalah fitnah dan mengelirukan rakyat.

Justeru, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin meminta Assaffal untuk bertanggungjawab memperbetulkan fakta tersebut yang menyimpang daripada Triti Persempadanan Laut Wilayah di Laut Sulawesi yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia, Jun lalu.

“Isu ini telah diperjelaskan berkali-kali di mana Malaysia dan Indonesia telah memeterai triti berhubungan persempadanan laut wilayah membabitkan kedua-dua negara.

“Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya melibatkan laut wilayah dan tidak melibatkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan Zon Ekonomi Eksklusif,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pertukaran instrumen Perjanjian Persempadanan Laut Wilayah di Laut Sulawesi disempurnakan ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun lalu.

10 Ogos lalu, Assaffal ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak Kerajaan Sabah untuk menyerahkan sempadan Ambalat kepada Kerajaan Indonesia.

Dakwanya, itu antara kesilapan kerajaan negeri apabila tidak memperhalusi isu berkenaan sehingga mendatangkan kerugian buat Sabah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua rundingan berkaitan triti tersebut turut melibatkan Kerajaan Sabah dan kerajaan negeri amat maklum mengenai triti itu.

Jelasnya, blok yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat (Ambang Batas Laut) atau yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan ND7 belum dirunding dan akan dibincangkan kedua-dua negara.

“Saya minta semua pihak yang telah pun mengambil maklumat daripada ADUN Tungku kena bertanggungjawab. Jangan kongsikan maklumat tanpa pemeriksaan fakta sebenar, kena rujuk Wisma Putra.

Foto : NSTP

“Jangan buat kenyataan mengelirukan rakyat bahkan fitnah. Hentikan perkara ini, jangan tambah perkara tak wujud akhirnya timbulkan kegusaran dan kebingungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Saya sendiri selaku Ahli Parlimen (Kimanis) dari Sabah, takkan saya rela kedaulatan Sabah digadai. Saya akan pertahan perairan Sabah dan kedaulatannya dan ini komitmen saya sebagai Timbalan Menteri Luar. Cukup-cukuplah. Jangan polemik isu ini.

“Walaupun kenyataan itu kini tersebar di media soial, namun disebabkan kenyataan itu dibuat dalam DUN, saya serahkan kepada kebijaksanaan ADUN serta Speaker DUN (untuk mengambil tindakan),” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyahklasifikasi dokumen triti berkenaan, Mohamad berkata, ia masih belum dapat didedahkan ketika ini kerana Kerajaan Indonesia belum meratifikasinya di Parlimen republik itu.

Loading...
Terkini