Oleh: Syafiqah Damanhuri
SUBANG: Amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan
pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan
perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember
2024 dan 1 Januari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, keputusan itu berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].
“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024 telah bersetuju untuk meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini.” katanya dalam sidang media di sini.
Perkara itu sekali gus menjawab persoalan kira-kira 900,000 pesara kerajaan yang masih menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.
Pada 31 Oktober, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pesara kerajaan juga akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.
Beliau berkata, pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.