PUTRAJAYA: Malaysia sedang memantau rapi kesan Taufan Usagi atau dikenali Ofel yang telah melemah dengan ketara pada Jumaat selepas menyebabkan kerosakan di bandar utara Filipina.
Kementerian Luar dalam nasihat terkininya pada Jumaat memaklumkan bahawa sementara pihak berkuasa meneruskan usaha pemulihan, persiapan sedang dijalankan untuk Taufan Man-yi atau dikenali Pepito yang semakin kuat di barat Pasifik dan dijangka melanda bandar-bandar timur serta wilayah ibu kota Manila pada hujung minggu ini.
“Man-yi diunjurkan akan menjadi taufan super menjelang awal Ahad, dan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra telah menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Filipina untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular bagi menerima kemas kini dan sokongan yang tepat pada masanya.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila di 107 Tordesillas Street, Salcedo Village, Makati, Metro Manila, Filipina atau melalui nombor telefon (632) 86628200 / (632) 86628201 / 02 dan alamat e-mel: [email protected] / [email protected].
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.