KUALA LUMPUR : Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ (kawasan panas) berisiko berlakunya tanah runtuh berikutan hujan lebat berterusan yang melanda negara ketika ini.
JMG dalam kenyataan menyebut, Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku ketika ini menjadi punca kepada ancaman tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, kawasan penempatan dan laluan bercerun.
“Ancaman tanah runtuh juga boleh berlaku jika sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik. Begitu juga dengan kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh.
“Hal ini akan menyebabkan risiko bencana tanah runtuh boleh berlaku, sama ada secara mendadak atau berperingkat dalam skala kecil atau besar,” menurut kenyataan itu.
Berikutan itu, JMG mengingatkan orang ramai, terutamanya yang berada di kawasan berisiko untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kediaman mereka.
“Perhatikan sekeliling anda jika berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok yang berterusan condong.
“Jika mendapati ada tanda ini, orang ramai diminta menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan segera,” katanya.