Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Kerajaan Melaka memberi amaran kepada semua pemaju di negeri itu agar tidak melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lalu lintas.
Tegas Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Rahmad Mariman, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap pemaju yang melakukan pengorekan jalan tanpa kebenaran.
“Kerajaan negeri memandang serius isu ini dan tindakan keras dikenakan ke atas mana-mana kontraktor dan pemaju yang mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya,” tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas sebuah video yang tular di media sosial yang menunjukkan keadaan laluan yang rosak teruk di Jalan Gangsa berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.
Video berdurasi 31 saat itu memaparkan insiden sebuah kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan ketika melalui jalan berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Rahmad berkata, pihaknya telah melakukan siasatan terhadap penularan video itu yang mendapati pemaju terbabit melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran.
Lebih bahaya, pemaju terbabit didapati tidak meletakkan sebarang tanda amaran di kawasan pengorekan hingga menyebabkan berlaku beberapa kemalangan.
“Susulan itu, saya mengarahkan kerja-kerja dihentikan pada 5 Januari lalu dan JKR telah bertemu pemaju sebelum jalan itu diturap semula pada sebelah petangnya.
“Saya juga telah meminta Badan Koridor Infrastruktur (BKI) Melaka untuk mengambil tindakan keras kepada pemaju berkenaan,” katanya.
Tambah Rahmad, laporan polis juga telah dibuat oleh JKR Alor Gajah ke atas pemaju berkenaan kerana melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran di laluan awam.