Tumpuan :
Nasional

Amaran hujan tahap waspada di 9 daerah 

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada di sembilan daerah di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah, berkata amaran itu dikeluarkan di dua daerah di Terengganu iaitu Dungun dan Kemaman; selain di Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin (Pahang).

“Selain itu, tiga daerah di Johor iaitu Segamat, Mersing dan Kota Tinggi juga berdepan amaran hujan berterusan pada tahap waspada,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Muhammad Helmi berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

Beliau berkata, selain itu, talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Sementara itu, susulan amaran hujan berterusan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri atau daerah diaktifkan.

Menurut NADMA, jawatankuasa terbabit juga diminta untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga perlu memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan.

“Semua pusat operasi atau kawalan bencana peringkat pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Menurut NADMA, agensi itu NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

Katanya, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari masa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected].

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini