Tumpuan :
Nasional

Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu, Pahang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang diramalkan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin, hingga esok.

“Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).

“Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah, hingga esok,” kata MetMalaysia dalam kenyataan.

Bilangan penduduk terjejas akibat banjir di enam negeri dilaporkan meningkat apabila 54,231 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 421 PPS telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 44,516 orang yang ditempatkan di 193 PPS di 10 daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat di Terengganu, daripada 5,906 pada 8 pagi tadi kepada 8,500 setakat 4 petang hari ini.

Mereka ditempatkan di 205 pusat perlindungan di tujuh daerah.

Keadaan juga bertambah buruk di Kedah dan Perlis, yang masing-masing mencatatkan seramai 876 dan 291 orang mangsa.

Di Perak dan Johor, jumlah mangsa banjir masing-masing kekal 20 dan 28 orang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini