KUALA LUMPUR: Amaran hujan lebat, ribut petir beserta angin kencang dikeluarkan bagi dua kawasan masing-masing di Selangor dan Johor sehingga jam 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, keadaan cuaca itu di Selangor diramal berlaku di Lembah Klang dan Petaling manakala Johor membabitkan daerah Mersing dan Kota Tinggi.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Susulan itu, orang ramai dinasihati untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.