![](https://media.buletintv3.my/2023/12/52321064517.png)
PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di Sabah susulan ribut tropika Jelawat yang dikesan berada di Tenggara Filipina.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ribut tropika itu dijangka bergerak ke barat merentasi Laut Sulu dan seterusnya ke Laut China Selatan.
“Keadaan ini dijangka boleh mengakibatkan hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora di Sabah.
“Sehubungan itu, MET Malaysia mengeluarkan nasihat ribut tropika, amaran hujan berterusan tahap waspada serta amaran angin kencang dan laut bergelora membabitkan Sabah,” katanya melalui kenyataan hari ini.
MET Malaysia akan mengemaskini nasihat dan amaran terbabit dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini.
Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22- 1638 untuk pertanyaan lanjut.