Tumpuan :
Nasional

Amaran hujan berterusan di Sabah, Sarawak mulai Ahad ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Luruan monsun diramal berlaku mulai Ahad ini hingga 30 Januari depan sehingga berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di Sarawak dan Sabah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, ramalan itu berdasarkan analisis terhadap model ramalan cuaca terkini.

“METMalaysia sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) membabitkan Sarawak dan Sabah berkuat kuasa pada 27 hingga 30 Januari ini.

“Manakala, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 27 hingga 30 Januari ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat cuaca terkini dan sahih.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 1 pagi, esok.

Katanya, ramalan cuaca itu membabitkan Perlis dan Langkawi serta Kubang Pasu di Kedah selain Pulau Pinang iaitu kawasan Barat Daya dan Timur Laut.

“Cuaca sama dijangka berlaku di Perak iaitu di kawasan Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang, Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Petaling) dan Sarawak di Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.

“Selain itu, Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar) serta Labuan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini