MELAKA: Penduduk di Melaka dinasihatkan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di beberapa daerah di negeri ini bermula hari ini hingga Ahad.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dalam kenyataannya menjelaskan, hujan berterusan yang dijangka berlaku boleh menyebabkan banjir kilat terutamanya di kawasan rendah dan berhampiran dengan sungai.
Menurutnya, gabungan hujan lebat dan fenomena air laut pasang juga boleh menyebabkan kawasan pesisir pantai dan kawasan rendah terdedah kepada risiko limpahan air laut.
“Justeru orang ramai dinasihat untuk mengikuti perkembangan di laman web METMalaysia, aplikasi myCuaca, atau media sosial berkaitan perkembangan semasa. Dalam masa sama penduduk dielakkan berada di kawasan berisiko dengan jangan berada di tepi sungai atau pantai ketika cuaca buruk.
“Simpan dokumen penting dan bekalan kecemasan di tempat selamat selain kenalpasti pusat pemindahan banjir terdekat, jika berlaku sebarang kemungkinan,” katanya.
Jelasnya, penduduk di pesisir pantai dan nelayan pula perlu menyimpan bot dan peralatan penting di tempat selamat selain berhati-hati semasa terbabit dengan aktiviti di laut sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu, semua pihak perlu bersiap lebih awal untuk mengelak kesulitan ketika hujan dan air laut pasang.
Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin dalam kenyataannya menjelaskan, analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula semalam dan berterusan sehingga Isnin ini.
Katanya, keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah.
Sehubungan itu, METMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak berkuat kuasa pada 10 hingga 12 Januari 2025.
Pada masa yang sama, amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa bagi perairan Laut China Selatan sehingga 13 Januari 2025.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.