KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca ekstrem melibatkan angin kencang dan laut bergelora yang dijangka melanda beberapa kawasan perairan negara bermula 29 hingga 31 Disember ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, angin timur laut yang berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) akan melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan ombak mencecah ketinggian 3.5 meter.
Keadaan itu berpotensi membahayakan bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut serta sukan air, dengan MetMalaysia memberi amaran supaya berhati-hati terhadap keadaan laut yang bergelora.
Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku di pesisir pantai di kawasan yang terjejas, membawa risiko limpahan air laut dari Ahad hingga Isnin.
Angin kencang yang sama turut dijangka membadai perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran serta kawasan sekitar Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan, sehingga Selasa depan.
Ombak di kawasan itu boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, menambah risiko terhadap keselamatan aktiviti laut.
Bagi perairan Condore dan barat laut Reef North, MetMalaysia mengeluarkan amaran kategori ketiga, di mana angin dijangka melebihi 60 km/j dengan ombak lebih 4.5 meter.
Keadaan itu berpotensi membahayakan semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk pekerja di pelantar minyak.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua untuk perairan utara Bunguran serta timur laut dan barat daya Reef North.
Angin berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka melanda kawasan tersebut, memberi ancaman kepada aktiviti perkapalan, menangkap ikan, serta perkhidmatan feri.
MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama mereka yang terlibat dalam aktiviti luar dan perkapalan.
Keadaan itu dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan dan pemantauan cuaca akan terus dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.