BATU PAHAT: “Tugas Pak Su jaga adik dah selesai, amanah arwah emak, paksu dah tunaikan,” demikian luahan Kassim Rashid, 63, bapa saudara Allahyarham Muhammad Fikri Saliman sebaik menatap wajahnya buat kali terakhir hari ini.
Kassim adalah adik bongsu kepada arwah ibu Muhammad Fikri yang diamanahkan menjaga tiga beradik itu termasuk arwah Muhammad Fikri selepas kakaknya itu meninggal dunia dua tahun lalu.
Menurutnya, arwah Muhammad Fikri sangat mesra dengannya malah turut diminta menjadi wakil kepada keluarga lelaki ketika meminang tunangnya, arwah Putri Balqis Izzati Abd Rahman pada Februari lalu.
“Arwah bersama dua abang dan kakak anak yatim piatu. Sepanjang hayat ibunya, dia selalu pesan supaya menjenguk anak-anaknya jika ketiadaan mereka.
“Sejak pemergian ibunya, sayalah tempat mereka mengadu malah saya anggap mereka termasuk arwah seperti anak sendiri.
“Sebaik mendapat tahu dia dan keluarga bakal mentua ditimpa tragedi kepala air di Terengganu, saya tidak lena tidur,” katanya ketika ditemui pada pengebumian Muhammad Fikri di Tanah Perkuburan Parit Kadir, di sini, hari ini.
“Muhammad Fikri mengikut jejak ibu ke negeri abadi. Hati saya sebak sebaik melihat jenazahnya.
“Dalam hati saya berkata, amanah yang diberikan sudah selesai, dia akhirnya berjumpa ibu, bapa serta kakak dan anak saudaranya di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian hari ini.
Dalam pada itu Kassim berkata, arwah memberitahu mahu membawanya sekali lagi di majlis perkahwinannya dengan Puteri Balqis hujung tahun ini.
“Selepas bertunang, arwah juga ada memberitahu saya untuk wakilkan keluarga, tapi nampaknya hasrat arwah tidak kesampaian.
“Sepanjang dia dilaporkan hilang, saya pernah bermimpi arwah datang menunjukkan wajahnya pada saya. Itulah yang membuatkan saya sebak sehinggalah dimaklumkan penemuan jasadnya,” katanya.