KUALA NERUS: Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), melalui pembinaan struktur glob terbesar di Pusat Taman Laut Redang, hari ini.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata glob berketinggian tiga meter dengan berat melebihi satu tan itu, dibina dan diturunkan sendiri oleh 10 ahli alumni ke kedalaman 11 meter di dasar laut.
Beliau berkata peletakan glob itu bertujuan untuk membantu usaha Jabatan Perikanan dan agensi lain, dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan terumbu karang di kawasan taman laut yang musnah akibat Taufan Pabuk sekitar Januari 2019.
“Usaha ini juga adalah sebagai satu bakti untuk membuktikan kecintaan kami ahli alumni terhadap universiti pendidikan yang bertuah ini.
“Kami harap usaha ini memberi inspirasi kepada ahli alumni lain untuk turut sama menyumbang, seterusnya mengharumkan nama universiti yang amat dikasihi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA