PETALING JAYA: Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Raymond Goh disifatkan seorang rakan yang baik dan amat berdedikasi dalam tugasan.
“Arwah seorang yang sangat baik… ” kata rakan dan bekas penyampai berita TV3, Zainal Ariffin Ismail ketika dihubungi Buletin TV3.
“Tutur katanya tidak pernah melukai, walaupun jarang berjumpa beliau sentiasa dalam ingatan,” katanya.
Bekas pengacara Misteri Nusantara itu turut menitipkan doa buat Allahyarham.
“Wahai Allah, Ampunilah dia, berilah dia rahmat, berilah dia kesejahteraan, maafkanlah kesalahannya. Amin.”
Seorang lagi rakan penyampai, Ezzah Aziz Fawzy berkata Allahyarham seorang yang suka menolong dan murah senyuman.
“Semasa saya bertugas di Bilik Berita, Allahyarham sering menolong menggantikan penyampai berita Bahasa Inggeris ketika penyampai berita yang ditugaskan ada keuzuran di saat akhir,” katanya.
Manakala Zakiah Anas menyifatkan pemergian penyampai berita bersuara emas itu sebagai satu kehilangan besar dalam dunia penyiaran tanah air.
“Innalillah wainnailaihirojiun. Sesungguhnya pemergian Allahyarham Zaman Raymond Goh, adalah satu kehilangan besar dalam dunia penyiaran tanah air. Moga Allahyarham tenang bersemadi di taman syurga dan rohnya ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Bekas penerbit program berita berbahasa Inggeris TV3, Nightline, Azmi Atan berkongsi rasa sedih atas pemergian Raymond.
“Beliau yang merupakan bekas rakan sekerja dari zaman TV3 Jalan Liku hingga ke Sri Pentas memang seorang yang berdedikasi dan profesional.
“Semoga Syurganya tempat persemadian abadi buat Allahyarham,” katanya kepada Buletin TV3.
Sementara itu, rakannya di TV3, Mohd Azri Atan berkata pemergian Raymond adalah satu kehilangan besar buat dunia penyiaran terutama dalam kalangan rakan-rakan di Media Prima.
“Sangat profesional dalam bidang yang diminati dan ceburi. Miliki suara emas yang sukar dicari ganti. Rakan yang baik hati. Pernah bersama-sama dalam satu pasukan Bowling yang menjuarai Kejohanan Bowling anjuran Bilik Berita TV3” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Raymond berkhidmat di dalam dunia penyiaran kira-kira 35 tahun lalu dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan.
Artikel berkaitan: Raymond Goh meninggal dunia
Terdahulu isteri Allahyarham, Faridah Teh yang mengesahkan berita sedih itu memaklumkan solat jenazah akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas solat Asar dan akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, pada Selasa.