KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Jojo atau nama sebenar, Nur Hasan Balas, 50, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jalil di sini, kira-kira jam 6.45 petang tadi.
Pengebumian anggota kumpulan One Nation Emcees itu dihadiri keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat yang memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah diurus dan disolatkan di Masjid Sri Petaling selepas solat Asar, petang tadi.
Allahyarham Jojo yang mula menceburi industri muzik tempatan melalui kumpulan One Nation Emcees sejak 2008, meninggalkan balu, Siti Rohayu, 38, dan anak perempuan, Mariam yang berusia tujuh tahun.
Antara penggiat seni yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid; Vokalis XPDC, Mohd Ali Ismail dan penyanyi Azharina Azhar.
Terdahulu, berita pemergian Jojo disahkan oleh bekas anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly.
Mimi berkata, Allahyarham Jojo meninggal dunia selepas rebah di Masjid Jamek Sri Petaling, dekat sini. Allahyarham Jojo dilapor pernah diserang angin ahmar.
Pendakwah, Maulana Helmi dilapor memberitahu, Allahyarham Jojo sebelum ini sempat keluar berdakwah selama 40 hari sebelum mengikuti program ijtimak dakwah di Masjid Jamek Sri Petaling.
Allahyarham Jojo mula dikenali bersama anggota asal One Nation Emcees, iaitu Mimi, Kozae dan Zydee selepas dinobatkan juara program realiti, Gang Starz musim kedua pada 2008.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.