Oleh: Fahmi Tajuddin
AMPANG: Komposer dan penulis lirik terkenal Datuk Chuari Selamat menyifatkan Allahyarham Datuk Hail Amir sebagai seorang penghibur legenda.
Katanya ketika era 1970-an, Allahyarham mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur kerana berbakat dalam bidang seni suara dan lakonan.
“Hampir 100 lagu saya pernah tulis untuk Hail, ada juga komposer lain. Saya kenal Hail sejak album pertama lagi, Wajah Kesayangan hamba, diberi melodi oleh Tan Sri Ahmad Nawab.
“Ketika itu, arwah penyanyi baru, seorang pelakon, orangnya handsome, suaranya bagus.
“Arwah seorang yang mudah terima lirik yang saya berikan. Contoh lagu Kau Datang Lagi Mengganggu Fikiranku, lagu ini saya tulis dalam masa dua jam sahaja,” katanya.
Selain itu, Chuari berkata pesona seni Allahyarham melangkaui sebagai seorang penghibur, malah menjadi personaliti dan pelopor fesyen era 70-an.
“Arwah merupakan seorang pelopor dalam angkatan penyanyi 70 an, dan penampilannya sering menjadi ikutan ramai ketika itu.
“Arwah sangat mementingkan personaliti dan penampilan, pakaian…itu saya sangat teruja dengan penampilannya di pentas persembahan,” katanya.
Ujarnya lagi, Allahyarham tidak pernah meminggirkan barisan komposer dan penulis lirik yang pernah berkerjasama.
Malah, Allahyarham sering menyebut nama-nama komposer dan penulis lirik ketika membuat persembahan.
Allahyarham Hail Amir menghembuskan nafas pada usi 76 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin sekitar jam 3:48 petang.
Berita pemergiannya Hail disahkan oleh anaknya, Cinta Hailfi.
Sebelum ini, Hail pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.
Hail yang berasal dari Pulau Pinang, dimasukkan ke HKL pada Isnin selepas mengalami masalah batuk berterusan sejak Ahad.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.