PASIR SALAK: “Makcik baru balik daripada umrah, tiba-tiba dapat berita dua anak kembar makcik dah pergi selamanya. Orang boleh nasihat sabar, tapi kita yang menanggung perasaan sedih hilang dua anak,” luah Siti Masyitah Talkah, ibu kepada pasangan kembar yang maut akibat terbabit nahas di Jalan Kampung Gajah – Tanjung Tualang, dekat Kampung Changkat Rambai, semalam.
Siti Masyitah, 71, berkata dia baru sahaja tiba ke tanah air kelmarin dan semasa kejadian, ibu kepada sembilan anak itu berada di rumah anak keduanya, Zalifah Abdull Karim di Banting, Selangor untuk berehat sebelum bercadang pulang ke kediaman di FELCRA Seberang Perak, Kampung Gajah, di sini, pada Rabu (hari ini).
Katanya, berita kematian anak ketujuh dan kelapannya itu disampaikan oleh jiran melalui panggilan telefon sekitar jam 12 tengahari, semalam.
“Ya Allah, tak tahu nak cakap perasaan ketika itu. Hendak menjerit, tapi kita tak sanggup.
“Jiran yang menelefon nasihatkan jangan (meraung kerana dilarang dalam Islam), kita serah kepada Allah. Memang orang cakap senang, tapi yang menanggung perasaan itu kita.
“Terus makcik dan anak menantu bergegas balik ke Perak. Makcik nak tengok wajah dua anak kembar buat kali terakhir,” katanya sayu semasa ditemui di kediaman mereka di FELCRA Seberang Perak di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Nur Zuhaida dan adiknya, Nur Shahidah Abdull Karim, masing-masing berusia 33 tahun, maut akibat parah selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.
Siti Masyitah berkata, kedua-dua pasangan kembar yang amat rapat itu sebenarnya dalam perjalanan pulang dari klinik pakar kulit di Tanjung Tualang menuju ke rumah.
Jelasnya, dia tidak menyangka perbualan telefon bersama Nur Shahidah awal pagi semalam yang mengadu sakit kulit adalah kali terakhir dia dapat mendengar suara anaknya itu.
“Pagi tadi (semalam) Shahidah telefon makcik, dia menangis. Saya tanya kenapa nangis? ‘Kita tak sihat la ibu’. Tak sihat pergi klinik. Dia panggil ‘ibu… ibu’. Sayu rasanya.
“Dia menunggu kakaknya, Zuhaida belum balik dari kerja syif malam. Dua-duanya rapat dari kecil, hingga bekerja di kilang sarung tangan getah di Lekir pun bersama. Cuma Zuhaida syif malam, Shahidah syif pagi.
“Rupa-rupanya, Allah takdirkan akrab mereka dari rahim bersama, sehingga liang lahad pun mereka pergi bersama,” katanya tidak mampu menahan air mata.
Tambah Siti Masyitah, anak kembarnya itulah yang mengambil tanggungjawab menjaga dirinya sejak lima tahun lalu selepas kematian suami, Abdull Karim Salleh akibat sakit tua pada 2018.
“Bila ditanya soal kahwin pada mereka, mesti salah seorang daripada kembar jawab… ‘kalau saya kahwin, dia macam mana?’, sapa nak jaga mak?
“Mereka anak yang sangat baik dan mendengar cakap. Semua yang saya pesan, mereka buat. Kalau memasak serah kepada mereka, saya diminta rehat sahaja,” katanya memaklumkan kali terakhir mereka berjumpa adalah 23 September lalu semasa kenduri doa selamat sebelum dia berangkat ke Tanah Suci.
Pengurusan jenazah kedua-dua pasangan kembar berkenaan diuruskan oleh anak keempat, Nurul Huda Abdull Karim di Hospital Changkat Melintang, Parit sementara menunggu kepulangan ibu dan adik-beradik yang lain
Jenazah Nur Shahidah dan Nur Zuhaida selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Lada, di sini, selepas solat Isyak semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil yang dipandu wanita berusia 33 tahun bersama penumpang yang juga adik-beradik kembar dari arah Tanjung Tualang menuju ke Kampung Gajah, gagal memotong kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan Nissan X-Trail di laluan.