comscore
Tumpuan :
Nasional

Aliran trafik tinggi di lebuh raya utama negara hari ini

Aliran trafik bergerak perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dari utara. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Aliran trafik masih bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama negara, hari ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

Menurut Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, setakat jam 3.50 petang tadi, aliran trafik di beberapa laluan di bahagian utara, tengah dan selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), mengalami kesesakan.

Tinjauan aliran trafik laluan masuk ke terminal sesak di Terminal Bersepadu Selatan. -FOTO: NSTP

Katanya, di utara, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Kepala Batas ke Jitra, dari Pendang ke Gurun (berikutan kemalangan di Kilometer (KM) 76.6 arah selatan), dari Permatang Pauh ke Perai, dari Sungai Petani selatan ke Bertam dan sebelum masuk ke Terowong Menora ke Ipoh utara.

Bagaimanapun, aliran trafik di Jambatan Pulau Pinang bergerak lancar.

“Di kawasan tengah, trafik kini bergerak perlahan dari hentian sebelah Simpang Pulai arah selatan ke Gopeng, dari Gopeng ke Tapah (di kawasan mendaki), dari Bidor ke Sungkai arah ke Slim River dan dari Slim River ke Sungkai.

“Kesesakan turut dilaporkan berlaku di laluan dari Bukit Tagar ke Sungai Buaya, dari Rawang ke Sungai Buaya, dari Sungai Buloh ke Restoran Jejantas Sungai Buloh arah selatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya aliran trafik keluar dari Plaza Tol Sungai Besi arah ke pusat bandar juga padat dengan kenderaan selain kesesakan berlaku dari Southville City ke Kajang, dari Putra Mahkota ke Southville City dan dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

“Trafik di beberapa lokasi di Lebuhraya ELITE juga kini perlahan iaitu dari Shah Alam ke Seafield, dan dari Bandar Gamuda Cove ke Bandar Saujana Putra. Bagaimanapun, trafik di Lebuhraya NKVE bergerak lancar.

“Di bahagian selatan Lebuhraya PLUS, trafik kini perlahan dari hentian sebelah Pedas Linggi arah selatan ke Seremban.

“Untuk mengatasi kesesakan terus meruncing, SmartLane diaktifkan dari KM259.0 hingga KM262.3 yang mana pengguna lebuh raya menggunakan lorong kecemasan) arah selatan dari Senawang ke Seremban,” katanya.

Menurutnya, trafik juga kini sesak dari Restoran Jejantas Ayer Keroh arah utara ke Simpang Ampat, dari Ayer Keroh ke Jasin, dari Yong Peng utara ke Ayer Hitam, dari Machap ke Simpang Renggam terus ke Sedenak, dan dari hentian sebelah Kulai arah selatan ke Kulai.

Katanya, SmartLane turut diaktifkan di KM19.0 hingga KM27.0 arah utara dari Senai utara ke Kulai dan dari Kempas ke persimpangan Bandar Dato’ Onn.

Setakat jam 3.50 petang tadi juga, aliran trafik di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dari Malaysia ke Singapura masih sesak.

Tambah Abdul Aziz, keadaan cuaca di kebanyakan lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS adalah mendung, dan semua pemandu dinasihatkan memandu dengan berhemah bagi mengelak sebarang kesulitan.

Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK), kesesakan sejauh 19 kilometer dilaporkan berlaku di lebuh raya berkenaan setakat jam 5.01 petang tadi.

Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, jumlah kenderaan yang tinggi menyebabkan berlaku kesesakan sejauh 9.6 kilometer dari KM61.5 hingga KM51.9 dari Bentong ke Bukit Tinggi.

“Trafik juga kini sesak sejauh 19 kilometer dari KM38.5 hingga ke Plaza Tol Gombak dan kesesakan bercantum dengan trafik menuju ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Bagaimanapun, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada masa ini lancar di kedua-dua arah,” katanya.

Loading...
Terkini