KUALA LUMPUR: Aliran trafik tinggi dilaporkan di beberapa laluan di lebuh raya utama sejak awal pagi tadi berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Aidilfitri.
Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 8 pagi tadi mendapati beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sesak.
Di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, keadaan sama dilaporkan dari Sungai Buaya ke Bukit Tagar; Tanjung Malim ke Behrang; Skim River ke Hentian Sebelah Ladang Bikam; Bidor ke Tapah; Tapah ke Gopeng; Terowong Menora ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak serta Kuala Kangsar ke R&R Bukit Gantang.
Kesesakan turut dikesna di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi.
Sementara itu di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pula mencatatkan trafik perlahan keluar ke Plaza Tol Kuala Terengganu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.