Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BANGI: Beberapa lebuh raya utama mengalami kesesakan malam ini, terutamanya di pintu masuk ke ibu negara, berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan penghujung cuti Tahun Baharu Cina.
Tinjauan di Pusat Kawalan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, aliran trafik perlahan di beberapa lokasi kritikal, khususnya di plaza tol utama dan lebuh raya dari arah utara, selatan, serta pantai timur.
LLM turut memaklumkan sebanyak 2.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya sehingga tengah malam ini.
Di KM19.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), aliran trafik bergerak perlahan berikutan peningkatan kenderaan yang pulang dari Pantai Timur, menyebabkan kesesakan di Plaza Tol Gombak sejak awal pagi.
Sementara itu, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, trafik di KM324.4 di Tapah masih terkawal walaupun pergerakan kenderaan perlahan akibat jumlah trafik yang tinggi.
Dari selatan pula, rakaman kamera di KM238.75 Pedas Linggi menunjukkan keadaan trafik mula pulih sekitar jam 9.30 malam, namun di KM259.5 Port Dickson, kesesakan masih berlaku.
Menurut LLM, kesesakan ini berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk peningkatan jumlah kenderaan yang kembali ke ibu negara secara serentak, kemalangan kecil serta kenderaan rosak yang menghalang kelancaran trafik di beberapa lokasi.
Sehingga lewat malam ini, keadaan trafik masih sesak tetapi dijangka beransur pulih secara berperingkat.
LLM mengingatkan pengguna untuk menghubungi pusat pengurusan trafik LLM di talian bebas tol 1-800-8877-52 untuk mengetahui keadaan trafik semasa.
Selain itu, pengguna juga boleh melayari portal rasmi LLM dan sosial media aplikasi X @llmtrafik; Facebook Lembaga Lebuh Raya Malaysia; Tiktok @llmtrafik; dan channel Whatsapp LLM bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.