KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan susulan pertambahan jumlah kenderaan menuju ke ibu negara, setakat 5 petang ini.
Keadaan itu berikutan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik perlahan sepanjang tiga kilometer sebelum masuk Plaza Tol Karak.
Menurutnya, aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari persimpangan Karak ke Plaza Tol Bentong hingga Lentang, Bukit Tinggi ke Genting Sempah dan Hentian Rehat Gombak ke Plaza Tol Gombak.
“Selain itu, aliran trafik perlahan dilaporkan di Yong Peng ke Machap, Simpang Renggam ke Sedenak, Bukit Gambir ke Jasin, Pedas Linggi ke Senawang terus ke Persimpangan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagi laluan utara ke selatan negara, aliran trafik turut dilaporkan perlahan di Permatang Pauh ke Perai, Bukit Gantang ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Terowong Menora ke Ipoh, Ipoh ke Hentian Rehat Simpang Pulai dan Rawang ke Sungai Buloh. – HARIAN METRO