comscore
Tumpuan :
Nasional

Aliran Trafik Keluar Dari Kuala Lumpur Meningkat

PETALING JAYA : Aliran trafik beberapa lebuh raya utama negara mula mengalami peningkatan jumlah kenderaan dan dijangka semakin bertambah menjelang petang ini.

Menerusi hantaran di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia LLM menunjukkan foto kenderaan mula banyak dari Plaza Tol Gombak memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur Karak sejak jam 12.30 tengah hari tadi.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, memaklumkan jumlah kenderaan di KLK da LPT 1 mula bertambah menjelang tengah hari dan jumlah dijangka bertambah petang ini.

“Aliran trafik KLK – Karak mula perlahan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur selain kesesakan berlaku di Kilometer (KM) 31.6 hingga KM37.2 arah Gombak ke Genting Sempah.

“Bagaimanapun, aliran trafik di LPT 1 setakat ini masih lancar di kedua-dua hala.

Kita menjangkakan jumlah kenderaan menghala ke Pantai Timur akan semakin bertambah pada sebelah petang ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, pihaknya menjangkakan aliran trafik akan bertambah selepas solat Jumaat hari ini.

“Kita menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah pada sebelah petang ini, selepas solat Jumaat.

Jumlah kenderaan yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS arah ke utara dan selatan dijangka meningkat kepada 1.9 juta kenderaan hari ini berbanding 1.6 juta kenderaan,” katanya

Katanya, PLUS mencadangkan waktu perjalanan keluar dan masuk Lembah Klang kepada semua pengguna lebuh raya PLUS bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena Aidiladha.

“Pada tarikh 7 Julai (semalam) hingga 10 Julai, orang ramai yang ingin pulang ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor dicadangkan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi, manakala untuk lain-lain negeri, selepas jam 1 tengah hari.

“Untuk perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 10 hingga 12 Julai, semua pengguna dicadangkan memulakan perjalanan sebelum jam 9 pagi,” katanya.

Loading...
Terkini