comscore
Tumpuan :
Nasional

Aliran trafik dijangka meningkat, orang ramai rebut peluang tol percuma berakhir malam ini – KPN

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan aliran trafik meningkat pada malam ini susulan pengguna jalan raya mengambil peluang pemberian tol percuma di semua lebuh raya yang akan berakhir pada 11.59 malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berkata kesesakan trafik hanya dijangka berlaku di plaza-plaza tol tertentu.

“Kami percaya kebanyakan pengguna jalan raya khususnya masyarakat Cina telah keluar awal untuk menyambut Tahun Baharu Cina, selain pengguna jalan raya yang lain mengambil peluang pemberian tol percuma yang akan tamat pada tengah malam ini.

“Selain itu, tinjauan trafik dari udara juga mendapati kenderaan dari Plaza Tol Gombak ke Bentong, Pahang lancar begitu juga dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan, terkawal,” katanya.

Razarudin berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau aliran trafik dari udara pada hari ini menggunakan helikopter polis di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi susulan cuti persekolahan yang telah bermula dan perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut esok.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya juga menugaskan lebih 6,000 anggota trafik bagi mengawal trafik di lebuh raya.

“Kami memang ada menempatkan anggota di lebuh raya dan kita juga ada hotspot dan blackspot kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini