PETALING JAYA: Isteri Allahyarham Jay Jay, iaitu Zaitoon Wahid, 61, reda dengan pemergian suami tercinta yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, malam tadi.
Zaitoon berkata, arwah mula berdepan komplikasi organ dalaman selepas Aidilfitri lalu.
“Suami pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui dan pergi buat selama-lamanya. Selepas pembedahan ‘bypass’ Jun lalu, dia mula alami komplikasi.
“Anak-anak dan adik-beradik arwah semuanya ada. Alhamdulillah kami tengok dia pergi dengan baik dan sebelum itu, suami tak tunjuk tanda-tanda dia sakit. Namun, keadaannya makin teruk selepas Hari Raya lalu,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Husna, Bandar Sunway di sini, pagi tadi.
Sementara itu, adik Jay Jay, Puan Seri Melor Wati menyifatkan arwah abang penyayang.
“Abang sangat penyayang, bukan dengan adik-beradik sahaja tapi dengan isteri dan anak-anak. Saya sebagai adik amat terasa kehilangan arwah.
“Arwah sangat pentingkan semangat kekeluargaan,” katanya.
Kira-kira 200 ahli keluarga, sanak-saudara dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Jay Jay yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.27 malam tadi.
Jenazah Allahyarham Jay Jay akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.