comscore
Tumpuan :
Nasional

“Alhamdulillah, adik dah sedar, wayar di tubuhnya sudah dicabut”

Abdur Rahman ketika menerima kunjungan Dr Mazri di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa, hari ini. – Foto NSTP

MUAR: Remaja lelaki yang terselamat dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa enam ahli keluarganya di Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu mulai sedar dan mampu menggerakkan tangan.

Abangnya, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, berkata adiknya, Abdullah, 15, yang dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Artikel berkaitan: Al-Quran arwah adik terselit pesan ibu jadi pengubat rindu

“Alhamdulillah, adik dah sedar dan boleh menggerakkan tangan. Paling menggembirakan bila adik pegang tangan ahli keluarga kami ketika melawatnya di ICU, kami bersyukur dengan perkhabaran gembira itu.

“Sejak hari pertama kejadian, kami sentiasa berdoa semoga adik cepat sembuh kerana kami takut kehilangan seorang lagi ahli keluarga.

“Saya dimaklumkan, kebanyakan wayar yang dipasang di tubuhnya sudah dicabut. Cuma saya dimaklumkan adik akan menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan pada 16 September ini,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa, hari ini.

Artikel berkaitan: Remaja mangsa ketujuh nahas di Segamat ditidurkan selepas jalani pembedahan

Terdahulu, Abdur Rahman menerima kunjungan serentak calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mazri Yahya serta pengurusan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Batu Pahat yang diketuai Pengarahnya, Sarimurni Mohd Sani.

Abdur Rahman adalah penuntut baharu sarjana muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) Pendidikan Islam di OUM Batu Pahat dan dijangka mendaftar hujung bulan ini.

Dalam kunjungan itu, OUM Batu Pahat menyampaikan sumbangan khas kepada Abdur Rahman serta sedang meneliti bantuan lain untuk diberikan kepadanya.

Secara kebetulan, arwah ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, juga penuntut diploma OUM jurusan pengajian Islam.

Mengenai tawaran umrah daripada pemilik syarikat umrah, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd, Abdur Rahman berkata, buat masa sekarang dia belum terfikir untuk menerimanya.

Sementara itu, neneknya, Noriah Mohd Nor berkata, dia sudah reda dengan kejadian menimpa anak, menantu serta cucunya dalam tragedi menyayat hati itu.

“Arwah sekeluarga sudah ‘berjumpa’ datuk mereka di sana. Kami di sini hanya mampu berdoa untuk mereka semua.

“Selama ini, apabila melihat sesuatu kejadian, saya sedekah al-Fatihah tetapi bila berlaku ke atas keluarga saya, barulah kita tahu bagaimanapun kesedihan ditanggung mereka sebelum ini.

“Cuma saya rindu suara mereka sekeluarga terutama anak-anaknya, setiap kali datang suara mereka akan memecahkan keheningan di rumah ini,” katanya.

Selain Noorahimah, kemalangan ngeri jam 6.30 petang itu turut mengorbankan suaminya Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat anak mereka, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang menghantar Noorahimah yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak dekat Segamat.

Loading...
Terkini