comscore
Tumpuan :
Nasional

Alex Low mohon maaf, tiada niat larang azan

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinacle, Alex Low. 

GEORGE TOWN: “Secara peribadi saya mohon maaf dan tidak berniat larang azan”, kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Tanjong Tokong Alex Low di sini.

Permohonan maaf secara terbuka kepada penduduk dan umat Islam itu dilakukan membabitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.

“Saya juga mewakili Ahli Jawatan Kuasa (AJK) JMB memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam dan semua umat Islam mengenai isu ini.

“Secara peribadi juga saya memohon maaf jika ada perkataan menyinggung perasaan dan kami kesal serta kecewa kerana isu yang sepatutnya menjadi perbincangan dalam mesyuarat lalu sudah menimbulkan salah faham,” katanya pada sidang media di kondominium terbabit semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor.

Alex berkata, menerusi mesyuarat pada 9 Mei lalu, AJK JMB pihak pengurusan surau sudah mencapai persetujuan dan penyelesaian berhubung isu itu dengan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta laungan azan bertujuan mendirikan solat.

“Jadi kami ingin jelaskan bahawa video berkenaan bukan mengenai laungan azan tetapi pemasangan pembesar suara di surau dan agenda yang diusulkan pada 12 Mac lalu itu, sudah ditarik balik kerana ia amat sensitif bagi dibincangkan.

Malah, video penarikan juga turut direkodkan.

“Sekali lagi kami dengan rendah diri memohon maaf supaya isu berkenaan tidak dibangkit semula bukan hanya di kawasan ini tetapi juga di Malaysia,” katanya yang turut meminta supaya video itu ditarik balik di media sosial bagi mengelak salah faham.

Semalam media melaporkan mengenai video tular mesyuarat JMB itu yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di surau berkenaan.

Difahamkan, antara usul yang dicadangan ialah supaya pembesar suara diletakkan di dalam surau serta kelantangan pembesar suara laungan azan direndahkan, selain mencadangkan laungan azan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan serta menyelesaikan dengan menggunakan cara diplomatik bagi selesaikan isu berkenaan.

Loading...
Terkini