Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ALC ke-25 Malaysia-Brunei: PM menghadap Sultan Hassanal Bolkiah

Anwar bersama Sultan Hassanal Bolkiah pada pertemuan sebelum ini. – FOTO: Ihsan Datuk Seri Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Safwan Sawi

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pagi tadi.

Lawatan rasmi Perdana Menteri sempena Rundingan Tahunan Pimpinan (ALC) ke-25 Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

@buletintv3MALAYSIA-BRUNEI | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pagi tadi. Lawatan rasmi Perdana Menteri sempena Rundingan Tahunan Pimpinan (ALC) ke-25 Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara. #beritaditiktok #BuletinTV3 #MalaysiaBrunei #ALC25 #AnwarIbrahim #SultanHassanalBolkiah

♬ original sound – BuletinTV3

Selain mengukuhkan hubungan negara jiran itu perbincangan empat mata antara kedua-dua pemimpin turut menyentuh soal kerjasama dua hala termasuk isu sempadan dan pengangkutan.

Perdana Menteri tiba di Istana Nurul Iman pada jam 11 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap berkenaan, Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Pada sesi menghadap itu, Perdana Menteri turut diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan.

Anwar turut diperkenalkan kepada Menteri Kabinet Brunei, sebelum Perdana Menteri memperkenalkan delegasi Malaysia kepada Sultan Brunei.

Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan empat mata kira-kira setengah jam bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Usai pertemuan, Anwar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelbagai instrumen dua hala yang ditandatangani antara kedua-dua negara.

Belia seterusnya menghadiri Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Lawatan kali ini adalah yang ketiga Anwar ke Brunei sejak beliau menjawat jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia.

Lebih istimewa lawatan kali ini mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Brunei sempena menyambut Ulangtahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini