comscore
Tumpuan :
Nasional

Al-Sultan Abdullah zahir sukacita dengan kejayaan ATM

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Rasa amat sukacita dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang dipamerkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih sempena tamat pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM bertitah sejak penubuhannya, ATM menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, dengan warga ATM sentiasa gagah perkasa tanpa mengira masa, cuaca serta kesenangan peribadi untuk membelah samudera, merentasi ruang angkasa dan mengharungi hutan belantara, sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Begitu juga pada saban kali bencana melanda, ATM adalah antara agensi yang pertama tiba menghulurkan bantuan demi untuk membantu rakyat jelata daripada musibah yang melanda,” titah baginda.

Titah baginda, ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19 dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat, warga ATM berjuang di barisan hadapan bagi menentukan struktur pentadbiran dan keselamatan negara masih berdiri kukuh tanpa diganggu-gugat.

Loading...
Terkini