comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah simbol penyatuan rakyat dan takhta 

 

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membuktikan raja bukan sekadar simbol perpaduan abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat antara rakyat, negara dan takhta.

Baginda bertitah sifat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ketika menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah meningkatkan penghargaan rakyat terhadap institusi diraja.

FOTO: NSTP

“Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia, sifat baginda berdua menyantuni rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuh hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja”

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, Al-Sultan Abdullah tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah baginda, Al-Sultan Abdullah berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan jemaah menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga Perdana Menteri.

Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak COVID-19 dan menempuh tempoh perintah kawalan pergerakan.

Ketika berdepan isu penting negara, Al-Sultan Abdullah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput raja pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat.

Baginda membuktikan Raja Berperlembagaan tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, ‘Negara Beraja – Rakyat Bersultan,’ tetapi institusi yang mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara.

Sultan nazrin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, 30 Januari tahun depan.

Loading...
Terkini