comscore
Tumpuan :
Nasional

Al-Sultan Abdullah pantau projek tebatan banjir Sungai Lembing

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda akan memantau pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Lembing supaya menjadi lebih berkesan dan berkualiti.

Baginda juga mahu pihak bertanggungjawab membaiki segera kerosakan jalan antara Kuantan ke Sungai Lembing disebabkan banjir.

Titah Al-Sultan Abdullah, masalah banjir kerap berlaku di Sungai Lembing bukan isu baharu.

Justeru baginda berharap menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir termasuk mendalamkan Sungai Kenau di Sungai Lembing dapat dilaksanakan sebaik mungkin untuk faedah penduduk.

“Saya harap selesai segera masalah banjir dan jangan tunggu pilihan raya baharu nak berjanji tetapi laksanakan sekarang,” titah baginda ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing di sini, hari ini.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah mahu melihat kawasan itu diselenggara semula.

Baginda mengakui amat bersimpati dengan nasib penduduknya yang kerap dilanda banjir apatah lagi kerana ramai daripada mereka sudah meningkat usia dan terpaksa membaiki serta mencuci rumah kerana dilanda banjir.

Al-Sultan Abdullah bertitah masalah banjir di Sungai Lembing berlaku sepanjang tahun dan bukan hanya ketika musim tengkujuh.

Tegas baginda, masalah itu berlaku setiap kali hujan lebat dan berterusan kerana antara punca utama kejadian itu Sungai Kenau di Pekan Sungai Lembing cetek.

Justeru baginda berharap menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai berkenaan akan menyelasaikan masalah banjir di pekan bekas tapak perlombongan tertua di Malaysia itu, yang turut terkenal sebagai lokasi pelancongan di Pahang.

Projek tebatan banjir di Sungai Kenau dan Sungai Lembing bernilai RM100 juta dan dijangka siap November 2026.

Antara skop projek ialah mendalamkan Sungai Kenau membabitkan jarak sepanjang tujuh kilometer serta membina benteng di kiri dan kanan sungai di Pekan Sungai Lembing.

Semasa lawatan itu, baginda turut berkenan menyantuni lebih 400 mangsa yang ditempatkan di PPS itu sejak 24 Januari lalu setelah Sungai Lembing dilanda banjir.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini