Oleh Fazli Ahmad
PEKAN: “Kenangan jatuh pokok rambutan di hadapan istana hingga patah tangan masih segar dalam ingatan,”.
Itu antara kisah zaman kanak-kanak dikongsi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyantuni petugas media melawat Istana Mangga Tunggal, di sini yang dalam proses baik pulih untuk dijadikan Galeri Al-Sultan Abdullah.
Di Istana itulah tempat baginda diputerakan hampir 64 tahun yang lalu.
Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat pertama kalinya turut menceritakan kisah seram pernah dialami petugas istana dan kekanda baginda di istana itu.
Titah Al-Sultan Abdullah, istana yang berusia hampir 90 tahun ini dalam proses diubahsuai tetapi struktur asal pembinaannya serta perabot lama dikekalkan dan akan dijadikan galeri supaya orang awam dapat melihat sendiri tempat baginda dibesarkan bersama kekanda dan adinda baginda.
“Beta harap kita dapat buka untuk dilawati orang awam, buat galeri dan kalau tak ada orang jaga dan tengok istana ini sayang juga tapi sekarang alhamdulillah la nampak elok sikit.” titah baginda.
Pelbagai koleksi potret lama baginda dan keluarga turut dipamerkan di istana ini.
Ia dibina oleh seorang tukang yang mahir, Awang Mat Ali pada 1934 dan dinamakan Istana Mangga Tunggal sempena peristiwa sepohon pokok mangga di perkarangan istana berkenaan yang hanya berbuah sebiji setiap musim.
Almarhum Sultan Ahmad Shah bersemayam di Istana ini sebelum baginda bersemayam di Istana Abu Bakar kira-kira 2 kilometer dari Istana Mangga Tunggal.