comscore
Tumpuan :
Nasional

Al-Sultan Abdullah berkenan ziarah MB Pahang di IJN

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan meluangkan masa menziarahi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara hari ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang yang memaklumkan baginda tiba di pusat perubatan itu pada 3 petang tadi dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar serta menitipkan nasihat sebagai penguat semangat buat Wan Rosdy.

Sultan Pahang turut disembah maklum oleh Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotoraks IJN Prof Datuk Dr Alwi Mohamed Yunus mengenai keadaan terkini Wan Rosdy yang selamat menjalani prosedur pembedahan jantung pada 7 Jun lepas.

Terdahulu, dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang semalam, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan sebuah surau yang dikunjungi baginda ketika mengadakan lawatan di Cameron Highlands untuk mendoakan Wan Rosdy.

“Saya minta surau ini doa untuk Menteri Besar (Wan Rosdy) kita selamat sembuh selepas jalani pembedahan baru ini, dia seorang Menteri Besar yang baik,” titah baginda.

Sementara itu, Wan Rosdy menerusi hantaran di laman Facebook berkata beliau menghargai dan menjunjung kasih atas keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap kesihatan dirinya.

“Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta diberikan kesihatan dan kesejahteraan,” katanya. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini