comscore
Tumpuan :
Nasional

Al-Sultan Abdullah berdukacita dengan nasib rakyat Palestin

Majlis Pengurniaan Replika Kunci Rumah Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) untuk 14 penerima di Kampung Pahang Tua

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kesedihan dan berdukacita dengan musibah dialami rakyat Palestin akibat kekejaman tentera Israel.

Justeru, baginda mengajak seluruh rakyat Malaysia membantu rakyat Palestin sedaya mampu bagi meringankan kesangsaraan dialami mereka.

Titah baginda, rakyat Malaysia juga perlu melakukan Solat Hajat dan berdoa agar bumi Palestin terus dilindungi.

“Rakyat Malaysia patut bersyukur dengan keamanan dikecapi tetapi pada masa sama kita perlu berfikir dengan nasib dialami rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis,”

“Kalau kita tengok tv setiap hari begitu sedih dan berdukacita dengan kekejaman tentera Israel menghancurkan bumi Palestin,”

“Kita perlu membantu mereka sedaya mampu dan hulurkan sumbangan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.” titah baginda di Majlis Pengurniaan Replika Kunci Rumah Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) untuk 14 penerima di Kampung Pahang Tua, di sini hari ini.

Projek rumah itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Pahang dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan setiap rumah bernilai antara RM75,000 dan RM100,000.

Penerima rumah terbabit adalah golongan kurang berkemampuan termasuk mangsa banjir.

Al-Sultan Abdullah turut berharap semua rakyat Palestin terus bersemangat mempertahankan negara mereka serta Masjid Al-Aqsa.

Baginda turut berdoa, semua rakyat Palestin yang terkorban kerana mempertahankan tanah air mereka ditempatkan bersama golongan mati syahid.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini