Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Dua bot pam di dua lokasi berbeza sekitar perairan Pulau Mengalum di sini berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan kerana disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan kira-kira 1.00 tengahari tadi.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kedua-dua bot terbabit telah ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Mengalum.
“Semasa rondaan, bot peronda berjaya mengesan sebuah bot pam di kedudukan 16 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum bersama dua orang kru, masing-masing berbangsa Bajau Laut.
“Semasa pemeriksaan, kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot, lesen perikanan dan disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan berdasarkan kepada hasil tangkapan serta peralatan yang ditemui,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Suhaimi lagi, bot kedua di lokasi berasingan bersama tiga orang kru yang berada di kedudukan 18.8 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot, lesen perikanan dan juga disyaki melakukan aktiviti bom ikan berdasarkan bukti yang sama.
“Kedua-dua bot pam dan kesemua lima orang kru bot telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Sabah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.