Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati pemaju projek agar tidak melakukan kerja berhampiran kawasan izinlalu rentis (right-of-way) talian penghantaran voltan tingginya bagi mengelakkan kejadian percikan arka (arcing) yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional.
Kerja dalam kawasan rentis TNB pula amat dilarang kerana risiko percikan arka dan renjatan elektrik, serta gangguan bekalan kepada sistem Grid Nasional adalah lebih tinggi.
Kawasan rentis menara talian penghantaran adalah dalam jarak 20 meter ke 30 meter di bahagian kiri dan kanan menara talian.
Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir. Husaini Husin mengingatkan bahawa tiada kerja-kerja boleh dilakukan dalam kawasan izinlalu tanpa kebenaran TNB.
“Pihak yang telah menerima kebenaran TNB untuk bekerja di dalam kawasan rentis TNB pula perlu berhati-hati bagi mengelakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas,” katanya.
“Ribuan pengguna akan terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan pihaknya mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB, di Seberang Perai, Pulau Pinang; Klang dan Subang Jaya, Selangor yang berlaku baru-baru ini.
Ia menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik dan pengendali kren yang terlibat mengalami renjatan elektrik yang mengakibatkan kecederaan serius dengan kelecuran tahap satu.