comscore
Tumpuan :
Nasional

Aktifkan semula program sukan, aktiviti kokurikulum

Foto hiasan

Oleh : Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah perlu diaktifkan semula, supaya membawa impak positif kepada murid, terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja selepas terlalu lama terkepung dengan sesi pembelajaran.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, kesan baik aktiviti sukan secara tidak langsung menggalakkan perasaan positif dan gembira.

Ia sekali gus secara automatik akan menjadikan murid lebih cerdas belajar selain memberi impak positif kepada kemahiran sosial mereka.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

“Ini petanda yang kurang sihat kepada remaja dan kanak-kanak dan ini membuatkan bahawa di masa hadapan kesihatan dan kesiapsiagaan mereka bermasalah nanti. Banyak langkah-langkah perlu dilakukan oleh pihak kerajaan, ibu bapa serta masyarakat melalui mengaktifkan semula program-program kokurikulum dan juga sukan di sekolah-sekolah seperti di peringkat daerah, kawasan serta negeri.

“Dari segi diet pemakanan seimbang juga perlu diteliti semula supaya mereka diberikan sumber yang sihat dan dipantau gaya hidup pemakanan dari awal lagi. Satu lagi aspek penting ialah kesihatan mental,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya, peruntukan atau dana perlu disiapkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin dan setimpal untuk pengawalan penjagaan kesihatan golongan itu, selain pengambilan jurulatih-jurulatih berpengalaman dalam sukan-sukan berkaitan bagi menggerakkan aktiviti sukan di sekolah.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, empat daripada lima remaja di negara ini tidak aktif secara fizikal.

Manakala dua daripada tiga remaja mengamalkan aktiviti kecergasan pada tahap sedentari.

Loading...
Terkini