comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta Tahanan Rumah sasar 20,000 individu jalani tahanan reman di penjara

Foto hiasan

PASIR MAS: Akta Tahanan Rumah yang bakal dibentangkan tahun hadapan menyasarkan 20,000 individu yang menjalani tahanan reman di penjara, sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata akta berkenaan tidak terpakai kepada tahanan reman di penjara yang membabitkan kes jenayah berat.

Katanya, untuk rekod banduan di seluruh negara kini mencecah seramai 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya untuk 74,000 banduan sahaja.

“Pada masa sama, kita tempatkan banduan dalam komuniti seramai 5,000 orang dan kini lebihan banduan masih lagi berlaku membabitkan 8,000 orang.

“Daripada jumlah banduan di seluruh penjara itu, 20,000 membabitkan individu ditahan reman dalam penjara sementara kes mereka dibicarakan.

“Tahanan reman inilah menjadi fokus kita untuk Akta Tahanan Rumah yang akan dibentangkan tahun depan. Namun bagi kes jenayah berat, mereka akan dikecualikan.

“Menerusi pendekatan ini, kesesakan penjara yang berlaku kini dapat diselesaikan. Ramai yang salah faham bila sebut Akta Tahanan Rumah hanya fokus kepada ‘seorang’ sedangkan kita sasarkan ribuan tahanan reman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Mengulas lanjut katanya, mereka yang menjalani tahanan di rumah itu nanti akan dipakaikan perantis khas bagi pemantauan.

“Kabinet sudah beri keputusan dasar untuk kita mulakan akta berkenaan. Kita akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ianya dibentangkan di Parlimen,” katanya

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Perkara itu terkandung dalam ucapan Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini