Tumpuan :
Nasional

Akta Tahanan Rumah, hukuman alternatif bantu kurangkan kesesakan penjara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah sebagai hukuman alternatif akan membantu mengurangkan kadar kesesakan di penjara dan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa ini serta menjimatkan kos kepada kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Penjara berkata akta terbabit dapat mengawal pergerakan banduan untuk kekal dalam rumah, sama seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

Langkah berkenaan terbukti menurunkan kadar jenayah di Malaysia ketika itu.

“Jabatan Penjara Malaysia telah memperkasakan serta memperluaskan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan kadar kesesakan di institusi penjara.

“Jabatan ini juga menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mewujudkan Akta Tahanan Rumah, yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2025.

“Selain itu Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau hukuman alternatif baharu yang lain membolehkan pengurangan kesesakan institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan.

“Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek (banduan) untuk membuktikan mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara,” kata kenyataan itu.

Lebihan kapasiti penjara 11.24 peratus

Menurut data dikongsikan jabatan itu, fasiliti penjara mengalami kadar pertambahan banduan melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146 orang, berbanding jumlah kapasiti keseluruhan terkini seramai 87,419 orang iaitu melebihi 11.24 peratus.

Ia merangkumi jumlah banduan dalam penjara seramai 82,482 orang (94.35 peratus) dan di dalam komuniti seramai 4,937 orang (5.65 peratus).

Berdasarkan kadar pemenjaraan pada masa ini, jabatan itu merekodkan nisbah 245:100,000 penduduk, berbanding kadar purata pemenjaraan dunia 145:100,000 penduduk.

Kadar banduan yang tinggi ini, jelas jabatan itu adalah tidak baik untuk imej negara daripada segi keselamatan dan kesejahteraan awam dari kaca mata dunia.

“Jumlah keseluruhan institusi penjara adalah sebanyak 43 buah di seluruh negara dengan 19 buah mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutama penjara di bandar-bandar besar di Malaysia.

“Melalui peruntukan undang-undang di bawah seksyen 43, 46 dan 47 Akta Penjara 1995, memberi ruang kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkenalkan hukuman alternatif melalui PDK.

“Ia termasuk menggunakan Program ‘Corporate Smart Internship’ (CSI) seperti Program CSI Parol, CSI Program Banduan Secara Lesen (PBSL), CSI Program Bebas Lesen (PBL) dan Program Reintegrasi Penghuni Industri kepada prospek yang layak diberi Pemulihan Dalam Komuniti.

“Kadar residivis (jenayah berulang) adalah rendah di bawah program PDK iaitu sebanyak 0.24 peratus berbanding dengan 17.6 peratus bagi mereka yang hanya menjalani pemulihan dalam fasiliti atau dalam penjara,” kata jabatan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini