Tumpuan :
Nasional

Akta SOSMA akan diteliti semula – Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil ditemui media ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) susulan kes melibatkan tahanan SOSMA baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju mengenai beberapa perkara termasuk aspek penambahbaikan.

Jelasnya lagi, perincian berhubung perkara itu juga bakal diperincikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen minggu depan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri juga, Perdana Menteri meminta Akta SOSMA diteliti dan disemak jadi insya-Allah Menteri KDN akan tampil ke Parlimen untuk beri kenyataan.

“Secara prinsipnya ada beberapa perkara yang telah dibincangkan dan telah dipersetujui dengan menambahbaik atau pun menyemak semula akta SOSMA,” katanya ketika sidang media pasca mesyuarat kabinet hari ini.

Sebelum ini, wujud dakwaan berhubung tahanan SOSMA dipukul di Penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, pemeriksaan dan hasil siasatan pihak Jabatan Penjara juga mengesahkan tidak berlaku sebarang kejadian seperti yang didakwa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pada itu memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang perkara, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dan mogok lapar yang diadakan beberapa individu dipercayai ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini