Oleh Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Bagi membela nasib penyewa teraniaya serta memantau kontrak sewaan yang didakwa sering berat sebelah, Akta Sewaan Kediaman dijangka dibentangkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di Parlimen tahun depan.
Ia susulan pendedahan Buletin TV9 baru-baru ini mengenai kegiatan rakus pemilik rumah mengubah suai kediaman mereka demi menyumbat lebih ramai penyewa serta mengabaikan aspek keselamatan penghuni.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata akta itu akan mengawal masalah yang wujud dalam sektor sewaan kediaman yang ketika ini tiada undang-undang khusus memantaunya.
“Bila tidak ada akta khusus, kita tak boleh buktikan bahawa di kawasan tersebut ada sewaan yang luar biasa…premis sebelah nilaiannya sebanyak ini, yang sebelah pula harga lain sampai terlalu tinggi pulangannya maka kita lihat kalau tidak ada akta khusus, keadaan sebegini akan berleluasa,” katanya.
Antara lain akta berkenaan juga menyediakan prosedur tindakan serta mekanisma penyelesaian sekiranya terdapat sebarang pertikaian dalam proses sewaan.
Mengulas mengenai pembinaan dalam kediaman yang sewenangnya dilakukan ketika ini, pihaknya memandang serius perkara berkenaan.
Tegasnya, setiap pembinaan perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mengikut lunas undang-undang.
“Bila anda langgar tak mohon kebenaran itu satu perbuatan jenayah sebab ia dah termaktub dalam undang-undang…mungkin buat sementara ini penguatkuasaan sukar sebab premis itu kepunyaan kamu (pemilik) tapi natijahnya sekiranya berlaku apa-apa bebanan atau kecelakaan …liabiliti kepada kamu tidak setimpal,”tegasnya.
Jelasnya, kurangnya kesedaran dalam kalangan penyewa teraniaya untuk membuat aduan menyumbang kepada kegagalan kemelut ini dibawa ke depan.
Untuk itu beliau menggesa aduan dilakukan terus menerusi aplikasi i-tegur kementerian bertanggungjawab.